Penasihat Dasar
dan Sokongan

MPRC menyokong Kementerian Ekonomi dengan menyediakan penyelidikan, khidmat nasihat dasar dan sokongan untuk industri minyak, gas dan tenaga, sejajar dengan matlamat negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dan ekonomi Malaysia dengan membantu syarikat OGSE tempatan dalam tenaga boleh diperbaharui dan pendigitalan.

Pengenalan

MPRC menjalankan khidmat nasihat dasar dan sokongan sebagai sebahagian daripada tiga bidang fokus utamanya di bawah Pelan Strategik Lima Tahun 2022-2027. Melalui peranan ini, MPRC menyokong Kementerian Ekonomi dengan menyediakan perkhidmatan penyelidikan, perundingan, dan nasihat dasar mengenai industri minyak, gas, dan tenaga. Hal ini termasuk menjalankan kajian dan membangunkan program untuk menyokong pertumbuhan keutamaan kerajaan bagi industri minyak, gas, dan tenaga sejak tahun 2022.

Sokongan terhadap Tenaga Bersih dan Lestari

Selaras dengan peralihan global ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan lestari, MPRC menggalakkan syarikat OGSE untuk meneroka bidang perniagaan baharu atau mengamalkan kecekapan tenaga dalam mematuhi peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada usaha nasihat dasar kami.

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan diterbitkan dalam dua bahagian pada Jun dan Ogos 2023, memberikan panduan yang jelas daripada kerajaan mengenai sasaran sifar bersih dan pelan untuk mencapainya.

Sebagai agensi Kementerian Ekonomi, MPRC mengutamakan kepentingan peralihan tenaga terhadap sektor OGSE dan menyokong NETR dengan membantu mempromosikan dan menerangkan dasar tersebut di acara-acara industri yang melibatkan pemegang taruh kami serta yang dianjurkan oleh pihak luar.

Baca selanjutnya: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)

Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS)

Malaysia berhasrat untuk menjadi pusat utama bagi Pemerangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di rantau ini. Ia adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas yang digariskan dalam NETR, menekankan kepentingan CCUS dalam mencapai matlamat sifar bersih karbon negara.

MPRC kini menyokong Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli (BEASSA), Kementerian Ekonomi dalam membangunkan dan memimpin pelaksanaan Pelan Komunikasi CCUS menjelang pembentangan Rang Undang-Undang CCUS oleh kerajaan pada akhir tahun 2024.

Malaysia sebagai Hab Pasaran Gas Serantau

MPRC telah dilantik oleh Kementerian Ekonomi (ketika itu dikenali sebagai Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri) untuk menjalankan kajian mengenai kedudukan Malaysia sebagai hab pasaran gas serantau, sebagai sebahagian daripada kajian pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, pada tahun 2021.

Dalam kajian tersebut, MPRC bekerjasama dengan pemegang taruh utama dari kerajaan dan industri untuk menjalankan kaji selidik dan sesi libat urus. Jawatankuasa Pemandu Kajian Hab Pasaran Gas Serantau telah meluluskan laporan akhir pada September 2022. Seterusnya, Bahagian Tenaga, Kementerian Ekonomi telah mengambil alih hak pemilikan kajian dan hasil kajian tersebut sebagai sebahagian daripada pelan untuk membangunkan industri minyak, gas, dan tenaga.